Lindungi diri daripada COVID-19

  • 4 min read

Belum reda isu penularan wabak influenza A, pada awal tahun 2020 ini kita dikejutkan pula dengan kemunculan penyakit baru iaitu virus corona ataupun singkatannya COVID-19. Virus yang berasal daripada Wuhan ini tergolong dalam golongan virus SARS yang juga pernah menyerang dunia termasuk Malaysia sekitar tahun 2003. 

Simptom dan gejala dijangkiti

Menurut kajian, COVID-19 mampu hidup didalam badan manusia antara 2 hingga 14 hari sebelum seseorang itu menunjukkan tanda-tanda dijangkiti. Selain itu juga, ada sesetengah penghidap tidak menunjukkan sebarang gejala dan mereka ini digelar sebagai healthy carrier atau carrier dan masih mampu boleh menjangkiti orang sekeliling. 

Namun, sesetengah pula akan menunjukkan gejala seperti: 

  • Demam panas
  • Batuk atau sesak nafas
  • Cirit-birit
  • Selesema
  • Penumonia

Oleh itu, jika anda mempunyai tanda-tanda seperti diatas, segera dapatkan rawatan doktor. Jangan berlengah kerana kecuaian anda boleh meragut nyawa anda dan juga orang lain.

Bagaimana COVID-19 merebak

COVID-19 merupakan virus yang jatuh dalam kategori zoonotic dimana virus tersebut merebak daripada haiwan kepada manusia. 

Seperti penyakit selesema yang lain, COVID-19 boleh merebak melalui titisan cecair yang tersembur daripada sistem pernafasan apabila seseorang itu batuk, bersin atau sedang bercakap. Seseorang boleh dijangkiti apabila beliau menyentuh permukaan yang mempunyai semburan titisan cecair ini dan kemudian menyapu mata, hidung atau mulut tanpa membersihkan tangan terlebih dahulu. 


COVID-19 di Malaysia

Disebabkan virus ini masih baru, saintis masih belum lagi menjumpai apa-apa vaksin bagi mengelak jangkitan Covid-19. Di Malaysia, kerajaan memandang serius mengenai virus ini yang kian merebak diserata dunia dan pelbagai langkah pencegahan telahpun diambil. Hasilnya, Malaysia mampu mencapai tahap kesembuhan sebanyak 80% dengan tiada kematian akibat COVID-19 dicatatkan setakat ini. Malaysia masih lagi berusaha membantu para pesakit yang dijangkiti agar kembali sembuh seperti sedia kala. 

Cara melindungi diri daripada dijangkiti

Namun begitu, meskipun pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan, kita tidak harus berlepas tangan. Usaha bagi menghindari sebarang jangkitan tetap harus dilakukan. Selain daripada melindungi diri, kita sebenarnya sedang membantu menghapuskan virus tersebut daripada terusan tersebar. 

Memakai topeng muka juga salah satu langkah pencegahan yang boleh diambil

Terdapat pelbagai langkah yang boleh diambil bagi melindungi diri anda serta orang terdekat daripada dijangkiti;

  1. Sentiasa rajin basuh tangan

Ingat ya, virus sangat mudah merebak melalui sentuhan. Pastikan anda membasuh tangan sebelum makan atau sebelum menyentuh bahagian muka anda. Gunakan sabun dan bilas tangan anda sehingga diyakini bersih. Pastikan juga bahagian kuku anda dibersihkan. Lap tangan anda dengan tuala bersih. Jika tiada sumber air berhampiran, sediakan satu hand sanitizer dalam beg anda sebagai pengganti. 

2. Elakkan tempat yang berisiko tinggi

Mencegah lebih baik daripada mengubati. Oleh itu, seeloknya elakkan daripada mengunjungi tempat yang berisiko tinggi seperti lapangan terbang dan hospital. Jika tiada keperluan atau bukan dalam keadaan kecemasan, tangguhkan dulu perjalanan anda. Kalau anda benar-benar perlu untuk ke tempat berisiko tinggi, pastikan anda memakai penutup muka dan hand sanitizer sepanjang berada disana. 

3. Dapatkan rawatan dengan segera

Jika anda mempunyai gejala dijangkiti, lebih-lebih lagi jika anda baru pulang dari luar negara, segera berjumpa dengan doktor untuk lakukan pemeriksaan. Diagnosis awal boleh membantu mencegah daripada virus merebak serta lebih tinggi peluang untuk sembuh. 

4. Pastikan makanan berasaskan haiwan dimasak dengan betul

Bagi peminat daging, hentikan sementara masakan ‘rare’ atau ‘medium’. Pastikan daging tersebut sudah cukup masak sebelum anda menikmatinya. Begitu juga denga masakan telur dimana sebolehnya elakkan daripada memakan telur separuh masak.

Melalui usaha bersama antara kita dan kerajaan, kita mampu mencegah COVID-19 daripada terus memasuki Negara. Apa yang penting, kesedaran semua pihak mengenai pentingnya tempoh kuarantin sangat membantu daripada penyebaran virus tersebut. Sama-samalah kita menjadi manusia yang bertanggungjawab dalam melindungi sesame kita.

Leave a Reply

Your email address will not be published.