Aktiviti Yang Boleh Dilakukan Bersama Anak Di Rumah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

  • 4 min read

Dengan pelbagai jenis virus yang sedang menular sekarang, pasti ada sesetengah ibu bapa yang memilih untuk meluangkan masa bersama anak-anak dirumah sahaja sebagai langkah pencegahan. Akan tetapi, terlalu lama dirumah tanpa sebarang aktiviti pasti akan menimbulkan rasa bosan. Mulalah anak-anak meminta untuk bermain gadjet atau menonton TV. Ini sangat tidak bagus!

Jangan khuatir. Disini kami sediakan lima idea pelbagai aktiviti yang boleh anda lakukan bersama anak-anak meskipun dirumah sahaja. Apa yang penting, kreativiti anda sebagai ibu bapa amat penting bagi menjayakan misi ini.

1. Bermain mainan berpapan

Terdapat banyak mainan berpapan yang berfaedah boleh dimain bersama anak-anak seperti Monopoly, Sahiba, snakes & ladders dan catur. Permainan ini bukan sahaja dapat memupuk semangat berdaya saing dan menajamkan minda, bahkan ada sesetengah permainan dapat membantu memperkaya kepakaran matematik serta bahasa.

Jika anda tiada masa untuk membeli mainan berpapan ini, dapatkan sahaja secara pembelian atas talian di laman web https://www.toysrus.com.my/board-games

2. DIY melalui barangan kitar semula

Pupuk semangat cintakan alam sekitar dalam diri anak-anak anda dengan menggalakkan mereka mengitar semula barangan terpakai. Melakukan aktiviti DIY dengan menggunakan barangan yang boleh dikitar semula merupakan satu langkah yang bijak serta bermanfaat.

Anda boleh mengajak anak anda mencipta permainan baru seperti telefon tin yang terkenal satu masa dahulu. Sambil anda meluangkan masa bersama anak, dapat juga mengimbau kenangan zaman kanak-kanak.

3. Bermain charade

Charade merupakan aktiviti yang bagus bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Cara permainannya mudah sahaja. Bahagikan ahli keluarga kepada beberapa kumpulan sama rata. Setiap kumpulan memerlukan ahli sekurang-kurangnya dua orang. Lantik satu wakil untuk menjadi pemberi klu dan ahli selebihnya harus meneka apa yang hendak disampaikan melalui klu tersebut.

Terdapat banyak kategori yang boleh dipilih seperti peribahasa, hidupan laut, pekerjaan dan banyak lagi. Pemenang dikira melalui jumlah tekaan yang paling banyak dalam masa satu minit. Selain dapat mengasah minda, permainan ini juga dapat menambah ilmu pengetahuan am.

Untuk lebih mudah, anda boleh sahaja muat turun aplikasi Charades! melalui Google Playstore atau Appstore

Image result for charades app for android

4. Bercucuk tanam

Nampak tak keasyikkan dia?

Jika anda mahu melakukan aktiviti yang mengeluarkan peluh bersama anak anda, bercucuk tanam merupakan aktiviti yang paling sesuai. Aktiviti ini bukan sahaja dapat memupuk semangat cintakan flora tetapi juga dapat memberi pendedahan kepada anak-anak mengenai kitaran alam. Anak-anak dapat pelajari pelbagai jenis pokok serta nama saintifiknya serta mengetahui hidupan kecil lain seperti cacing, serangga dan jika bernasib baik mereka dapat melihat rama-rama yang sedang mencari bunga. Secara tidak langsung ibu bapa mendapat kelebihan kerana mendapat seorang pembantu percuma.

5. Membuat kuih atau kek

Ramai para ibu bapa yang menganggap kerja di dapur hanya boleh dilakukan bersama anak perempuan sahaja. Persepsi ini salah sama sekali. Lihat sahaja kejayaan adik Danish Harraz yang baru sahaja berusia 12 tahun tetapi sudah berjaya mendapat gelaran chef cilik.

Aktiviti membuat kuih atau kek ini sesuai dilakukan bersama seisi keluarga lebih-lebih lagi apabila tiba saat mendekorasi. Pasti akan timbul pelbagai idea kreatif daripada anak anda. Selalunya, mereka akan memilih untuk melakukan dekorasi berdasarkan watak kegemaran mereka.

Selesai membuat kek atau kuih, tibalah waktu yang ditunggu-tunggu iaitu acara minum petang. Waktu minum petang akan jadi lebih bermakna apabila dinikmati bersama-sama apatah lagi dengan kehadiran kek atau kuih hasil kerja tangan bersama. Ini pasti menjadi memori yang indah buat anak-anak anda.

Bagi mereka yang berada di Lembah Klang, anda boleh dapatkan peralatan untuk membuat kek di Pasaraya Rakan. Layari laman web mereka https://rakanda.my/ untuk ketahui lokasi yang berhampiran.

Sebenarnya terdapat banyak aktiviti yang boleh dilakukan bersama anak-anak dirumah. Apa yang penting, ibu bapa haruslah bijak dan kreatif dalam mencari idea serta mengerah tenaga. Tidak lupa juga, anak-anak yang masih dalam fasa ingin belajar pasti akan melakukan sedikit kesalahan. Banyakkan bersabar kerana inilah masanya untuk anda mendidik anak-anak agar lebih berhati-hati.