Etika berpakaian ke Pejabat

Mungkin perkara ini nampak remeh, tetapi sebenarnya penting. Sebagai pekerja, etika berpakaian ketika di pejabat membawa imej syarikat. Ada pelanggan yang mungkin kurang senang jika melihat anda berpakaian berlebihan atau selekeh. Oleh itu penting untuk anda tahu etika pemakaian ke pejabat yang betul.  

  1. Ketahui kod pemakaian pejabat

Etika berpakaian ke pejabat tak semestinya harus sentiasa formal. Ada juga pejabat yang membenarkan pekerjanya berpakaian kasual dan santai. Anda perlu ketahui dahulu kod pemakaian bagi pejabat anda sebelum anda memilih pakaian apa yang sesuai untuk dipakai. Takkanlah anda seorang sahaja nanti yang beriya berpakaian formal sedangkan rakan-rakan yang lain santai sahaja. Janggal pula nanti.

  • Pakai pakaian yang senonoh

Pejabat adalah tempat professional. Berpakaian terlalu ketat, singkat atau jarang tidak kira bagi perempuan mahupun lelaki pastinya tidak sesuai dengan budaya di Malaysia. Malah boleh membuatkan sesetengah rakan sekerja berasa tidak selesa.

  • Pilih pakaian yang tidak mempunyai terlalu banyak corak

Harus diingat, pejabat adalah tempat golongan professional. Berpakaian dengan corak yang terlalu banyak akan membuatkan anda seperti ingin ke majlis keraian pula. Tetapi tidak semestinya anda harus berpakaian terlalu ringkas. Nanti penampilan anda nampak membosankan pula. Anda harus bijak dalam mengetahui garis sempadan antara terlalu meriah dan terlalu ringkas.

  • Pastikan pakaian anda sentiasa kemas

Penampilan anda haruslah sentiasa kemas untuk ke pejabat. Pastikan rambut anda disisir rapi dan sapukan minyak rambut jika kelihatan tidak terurus. Bagi kaum wanita, pastikan tudung digosok kemas. Jika anda sering kesuntukan masa untuk menggosok tudung, anda boleh dapatkan tudung yang tak perlu gosok di https://bidadarihouse.com/.  Pelajari juga cara-cara penggayaan tudung yang sesuai untuk kepejabat. Mungkin video daripada Intan Syafiqah ini boleh membantu https://www.youtube.com/watch?v=sr4hHlkQvXw

  • Jangan pilih aksesori yang terlalu meriah

Boleh sahaja jika anda hendak memakai aksesori seperti rantai dan gelang sebagai pelengkap gaya anda. Tetapi jangan la berlebihan. Terlalu meriah pula jadinya. Orang yang melihat pula terasa sarat.

  • Pakai alat solek yang ringkas

Bagi wanita, tanpa solekan ke pejabat akan membuatkan penampilan agak kusam dan kelihatan seperti orang tidak sihat. Memakai alat solek ke pejabat penting untuk menampakkan diri anda lebih ceria dan segar lebih-lebih lagi jika anda sering berjumpa pelanggan. Namun, jangan lah terlalu berlebihan pula dalam bersolek. Jika pembayang mata anda sahaja orang dari jarak 100 meter pun boleh nampak, bukankah anda kelihatan seperti mahu ke pesta?

  • Pilih kasut yang sesuai

Jika pejabat anda membenarkan kod pakaian kasual, tidak salah anda memakai kasut sneaker ke pejabat tidak kira lelaki mahupun perempuan. Namun, jika pejabat anda memerlukan anda untuk berpakaian formal, pakailah kasut yang sesuai. Kasut yang terbaik adalah kasut yang bertutup. Nampak kemas dan selesa. Jangan pula anda memakai selipar untuk ke pejabat melainkan dengan alasan tertentu seperti sedang diserang gout. Nampak tidak professional.

Penting untuk kita sentiasa kemas dan mengikut etika yang sepatutnya semasa di pejabat. Bukan sahaja sedap mata memandang, kita pun akan selesa untuk membuat kerja meskipun ketika deadline banyak mengejar. Maklumlah, kita akan menghabiskan masa lebih kurang 8 jam di pejabat. Kalau tak selesa dan kerja pun bertimbun, kan lebih stress? Oleh itu, pastikan pakaian anda sentiasa kemas dan mengikut garis panduan yang sepatutnya.