Ketahui Jenis-jenis topeng muka (mask) dan keberkesannya

Di musim COVID-19 yang sedang merebak di seluruh Malaysia dan dunia ketika ini, ramai yang berpusu-pusu untuk mendapatkan topeng muka sebagai langkah pencegahan. Terdapat pelbagai jenis topeng muka yang terdapat di pasaran namun sejauh manakah keberkesanan setiap topeng muka tersebut?

Sebelum kita pergi dengan lebih mendalam tentang jenis-jenis topeng muka ini, penting untuk kita ketahui siapa sebenarnya yang benar-benar perlu untuk memakai topeng muka ini.

Golongan yang perlu memakai topeng muka di musim COVID-19

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), jika anda sihat tubuh badan, anda tidak perlu memakai topeng muka kerana sehingga kini, tidak ada penemuan yang mencatatkan memakai topeng muka boleh mengelakkan jangkitan COVID-19. Tetapi jika anda sedang merawat mereka yang dijangkiti COVID-19, anda perlu untuk memakai topeng muka apabila sedang merawat atau berada dalam satu bilik dengan pesakit.

Hal ini sama juga jika anda mengalami gejala seperti batuk, selesema dan sesak nafas, anda wajib memakai topeng muka untuk mengelakkan virus daripada merebak. Dapatkan rawatan dengan secepat mungkin jika anda mengalami gejala agar tidak berlarutan dan berisiko menjangkiti orang awam.

Jenis-jenis topeng muka

  1. Topeng bedah (surgical mask)

Topeng bedah antara yang sedang mendapat permintaan hangat kini sehingga kerajaan perlu meletakkan harga siling agar penjual tidak menjual dengan harga yang melampau.

Topeng bedah merupakan topeng muka pakai buang dan boleh dipakai sekali sahaja. Pemakai tidak dibenarkan berkongsi topeng yang telah dipakai dengan orang lain untuk mengelakkan penyebaran virus kerana topeng ini hanya mampu menyekat virus daripada masuk ke rongga hidung dan mulut tetapi tidak mampu membunuhnya.

Jika dipakai dengan betul, topeng bedah mampu menyekat titisan, semburan atau sebaran cecair yang mengandungi virus. Titisan tersebut akan terkumpul pada permukaan luar topeng muka oleh itu elakkan daripada memegang topeng muka anda semasa sedang memakai ataupun ketika hendak menanggalkannya. Basuh tangan anda dengan bersih jika anda terpegang topeng muka anda.

Topeng bedah ini juga berfungsi untuk menghalang air liur dan bahan kumuhan anda daripada keluar dari ruangan topeng oleh sebab itu penting untuk anda memakainya jika mengalami gejala.

  • Topeng N95

Topeng jenis N95 berguna jika anda ingin menghalang habuk atau ketika kecemasan perubatan. Topeng ini hanya boleh menghalang zarah tetapi tidak mampu menghalang gas atau wap oleh itu sesuai dipakai ketika jerebu. Reka bentuk N95 bertujuan agar dapat melekap elok pada muka agar benar-benar berkesan untuk menentang virus yang boleh merebak melalui udara.

Topeng N95 juga bersifat pakai buang. Oleh itu, dilarang sama sekali untuk berkongsi topeng ini jika anda sudah memakainya. Seperti topeng bedah. N95 juga berfungsi untuk menghalang cecair daripada memasuki rongga muka.

Namun begitu, topeng N95 tidak sesuai digunakan oleh mereka yang menghidapi masalah pernafasan yang kronik, masalah jantung  atau apa-apa penyakit lain yang berkaitan dengan pernafasan kerana reka bentuknya boleh menyebabkan kesukaran bernafas.

Gambar hasil carian google

  • Topeng muka kain

Jika anda sering melihat artis Korea memakai topeng muka, inilah jenis topeng muka yang mereka pakai. Topeng muka yang dierbuat daripada kain ini meskipun cantik kerana mempunyai pelbagai bentuk dan corak, ianya tidak mampu menghalang virus daripada masuk ke rongga muka. Kebanyakkan mereka yang memakai topeng muka ini adalah bertujuan untuk melindungi muka daripada matahari dan habuk jalanan seperti yang sering kita lihat di Vietnam.

gambar hasil carian google

Mengetahui jenis-jenis topeng dan keberkesannya penting agar kita tidak mudah kelam-kabut dan tersilap beli apabila tiba waktu memerlukannya. Buat masa ini, pastikan anda memakai topeng bedah apabila perlu semasa musim Covid-19 ini. Semoga usaha kita dapat membantu melindungi diri daripada dijangkiti.